Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana dapat kembali bersama skuad kebangsaan.
Selepas kali terakhir dipanggil menyertai kem Harimau Malaya hampir dua tahun lalu, khidmat pemain berusia 28 tahun itu dipanggil Peter Cklamovski.
Ini dilihat selaras dengan prestasi baik Syahmi bersama JDT musim ini. Selepas berehat panjang akibat kecederaan serius, beliau sentiasa menjadi pilihan Xisco Munoz dalam kesebelasan utama JDT.
Syahmi menyifatkan panggilan menyertai kem Harimau Malaya sebagai rezeki buat dirinya. Justeru, beliau berharap dapat memanfaatkan peluang yang diberi sepanjang tempoh bersama skuad negara.
“Memang rasa bersyukur dan juga rezeki saya dapat kembali dengan pasukan kebangsaan setelah hampir lebih dua tahun jugalah.
“Jadi, rasanya ini adalah peluang terbaik untuk saya (rebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Syahmi antara 25 pemain yang melapor diri untuk hari pertama kem Harimau Malaya pada Isnin lalu. Mereka kemudiannya berlepas ke Thailand untuk menjalani latihan di situ.
Mereka bakal disertai trio pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Daniel Ting, Dion Cools dan Sergio Aguero. Harimau Malaya fokus untuk perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac ini.