Nama bekas penyerang Selangor FC, Reziq Bani Hani kembali menjadi sebutan di peringkat Asia.
Ini selepas akaun X rasmi Liga Juara-Juara AFC (ACL) memuji sumbangan beliau kepada kelab barunya, Al-Hussein SC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selepas menyertai Al-Hussein pada September lalu, Reziq sudah menyumbat lima gol dalam semua kejohanan termasuk ACL2. Dua gol daripadanya direkodkan dalam aksi menentang FC Nasaf pada November lalu.
Impak besar Reziq turut diiktiraf Sofascore yang memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan. Penyerang berusia 22 tahun itu mendapat markah 8.9.
Selain merekodkan dua gol, Reziq turut mencipta satu bantuan gol dan berjaya memenangi perebutan bola sebanyak 14 kali.
Atas sebab itu, khidmat Reziq terus ditagih jurulatih Al-Hussein SC, Joao Mota untuk menjadi peledak utama pasukan.
Ini terbukti apabila kelab Jordan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL2 musim 2024/25. Kejayaan itu dicapai meskipun pasukan itu tewas 3-2 kepada Shabab Al-Ahli Dubai dalam aksi terbaru Kumpulan D.
Al-Hussein SC tetap layak kerana mengutip sembilan mata. Kutipan mata itu sukar diatasi pasukan yang menduduki tangga ketiga, Kuwait SC yang mengutip lima mata dengan baki satu perlawanan.
Al-Hussein SC masih berpeluang bergelar juara Kumpulan D kerana mereka akan menentang Kuwait SC pada 5 Disember.