Ribut Petir Ancam Aksi Vietnam vs Malaysia
MakanBola
Malaysia National Team

Cuaca hujan lebat dan ribut petir berisiko memberi kesan kepada aksi separuh akhir kedua ASEAN Hyundai Cup antara Vietnam dan Malaysia di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

TheThao247 melaporkan cuaca hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda kawasan sekitar Hanoi. Sekiranya perkara itu berlaku, keputusan pengadil bakal menentukan sama ada perlawanan ditunda atau sebaliknya.

Mengikut Peraturan 5 Lembaga Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), pengadil mempunyai hak untuk menghentikan, menggantung atau membatalkan perlawanan jika keadaan cuaca tidak membenarkan perlawanan untuk diteruskan.

Antara faktor yang dinilai pengadil sebelum membuat keputusan itu ialah keadaan padang dan tahap kesukaran bagi pemain untuk beraksi. Jika padang didapati bertakung, licin atau berisiko membawa kecederaan kepada pemain, pengadil boleh menentukan sama ada untuk membatalkan, menghentikan atau menunda perlawanan.

Selain itu, faktor lain seperti tiupan angin yang kuat, ribut petir atau tahap penglihatan yang terhad juga boleh mempengaruhi pengadil untuk membuat keputusan tersebut.

Justeru, jika situasi ini berlaku menjelang aksi separuh akhir kedua antara Vietnam dan Malaysia, maka pengadil boleh menunda perlawanan selama 30 minit. Selepas tempoh tersebut, pengadil akan menilai semula sama ada padang boleh digunakan atau tidak.

Jika pengadil masih merasa tidak yakin, maka perlawanan akan ditunda lagi selama 30 minit. Jika perlawanan terganggu melebihi tempoh 60 minit, maka perlawanan berpotensi untuk dibatalkan.

Justeru, penilaian pengadil dilihat penentu buat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sama ada perlawanan dapat dilangsungkan atau sebaliknya. Vietnam memiliki kelebihan dua gol selepas menewaskan Malaysia dalam aksi separuh akhir pertama pada 16 Ogos lalu.