Pemain pertahanan muda negara, Richard Chin berdepan risiko tidak dapat bersama skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk Piala Asia B-23 2024.
Ini selepas jurulatih Harimau Muda, Juan Torres Garrido menerima maklumat bahawa pemain pertahanan berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan.
Richard yang mewakili Charlton Athletic dilaporkan mengalami kecederaan serius semasa beraksi bersama pasukan pinjaman, Bath City.
Richard dilaporkan sudah tidak beraksi untuk Bath sejak aksi menentang Truro City pada 20 Februari lalu mengikut data Transfermarkt.
Dengan tempoh pemulihan dijangka memakan masa beberapa bulan, Garrido menjangkakan beliau tidak akan sempat berada dalam skuad akhir yang akan berangkat ke Qatar pada awal April ini.
“Kami menerima berita tentang kecederaan yang dialami (Richard Chin). Beliau dijangka berehat selama beberapa bulan.
“Kami sudah memiliki barisan pemain yang dikehendaki di sini. Bagi pemain yang anda sebut, berkemungkinan besar beliau tidak menyertai skuad akhir (ke Piala Asia B-23 2024),” katanya kepada media pada sesi latihan skuad B-23 negara hari ini.
Barisan pemain B-23 menyertai kem latihan yang bermula hari ini sebagai persiapan ke Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung pada 15 April ini.
Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama negara serantau Vietnam, Uzbekistan dan Kuwait.