Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin berpeluang meraih trofi pertama dalam kariernya di Scotland.
Ini selepas pasukannya, Raith Rovers mengesahkan kemaraan ke pentas akhir Scottish Challenge Cup baru-baru ini.
The Rovers mengesahkan tiket final dengan menewaskan Airdrieonians di peringkat separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti. Ini susulan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan.
Richard turut beraksi dalam perlawanan berkenaan. Bekas pemain Charlton Athletic itu masuk sebagai pemain gantian menggantikan Lewis Vaughan pada minit ke-84.
Raith Rovers akan menentang pendahulu Scottish League One (divisyen ketiga Scotland), Inverness Caledonian Thistle di peringkat akhir.
Inverness mara ke final dengan menewaskan Ayr United 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sekiranya berjaya menewaskan Inverness, ini akan menjadi trofi pertama Richard dalam kariernya. Beliau merekodkan 18 penampilan dan satu gol dalam semua kejohanan setakat ini.