Pemain warisan Malaysia, Richard Chin terus mempamerkan prestasi memberangsangkan biarpun pasukannya, Charlton Athletic tewas kepada Crawley Town dalam aksi pertama kumpulan Trofi EFL yang berlangsung semalam.
Dalam aksi di Stadium Broadfield, kesilapan Richard mengawal bola mengakibatkan tuan rumah mendahului hasil jaringan Harry Forster pada minit pertama selepas menolak bola muntah penjaga gol Harry Isted.
Pemain warisan negara itu berjaya menebus kesilapannya dengan membuat satu hantaran padu yang disempurnakan Miles Leaburn pada minit ke-23. Leaburn kemudiannya mencipta gol kedua pelawat yang disudahkan Tyreece Campbell tiga minit selepas itu.
Begitupun, Klaidi Lolos memastikan keputusan perlawanan terikat 2-2 menerusi gol penyamaan pada minit akhir babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Richard dikeluarkan pada minit ke-46 dan digantikan dengan Joshua Laqeretebua. The Addicks kembali di hadapan menerusi sepakan jarak jauh George Dobson pada minit ke-58.
Bagaimanapun, The Red Devils memastikan kemenangan menerusi Nick Tsaroulla (minit ke-70) dan Rafiq Khaleel (minit ke-81).
Biarpun tewas, keupayaan Richard beraksi di pelbagai posisi pertahanan di Charlton merupakan berita baik kepada skuad kebangsaan. Ini kerana keupayaannya beraksi di pelbagai posisi bakal menjadi aset dari segi perancangan strategi buat jurulatih Kim Pan-gon.