Pemain baharu Ross County, Richard Chin mengakui teringin kembali bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, graduan akademi Charlton Athletic itu meraih satu penampilan antarabangsa bersama pasukan yang dibimbing Peter Cklamovski itu.
Penampilan itu diraih dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin pada 8 September 2025. Pada ketika itu, Richard masuk sebagai pemain gantian.
Sejak itu, bekas pemain Raith Rovers itu menunggu peluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya. Atas sebab itu, Richard melihat perpindahan ke Ross County sebagai platform untuk beliau merealisasikan hasrat berkenaan.
“Ya, ia satu pengalaman pertama yang sangat baik. Tetapi ia membuatkan saya ingin cuba mencapai tahap tersebut sebanyak mungkin dan menjadi pendorong kepada karier saya,” katanya dalam satu temu bual bersama saluran media The Staggies.
Richard turut mendedahkan perpindahan ke Scotland sebagai motivasi utama untuk meningkatkan peluang beraksi bersama skuad negara.
“Ya, berpindah ke Scotland pada asalnya, ia satu pendorong motivias yang besar kerana saya sudah tentu bermain untuk negara saya dan bermain sekerap yang boleh untuk mereka dan Ross County,” tambahnya.
Musim 2025/26 menyaksikan Richard merekodkan 29 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol bersama The Rovers. Musim sama turut menyaksikan beliau meraih trofi pertama dalam kariernya dengan menjulang trofi Scottish Challenge Cup.
Richard menyertai Ross County dari Raith Rovers dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.