Pemain pertahanan warisan Malaysia, Richard Chin terus mempamerkan impak positif bersama kelab barunya, Farnborough FC.
Sejak menyertai The Yellows sebagai ejen bebas selepas meninggalkan Charlton Athletic, Richard pantas menempatkan diri dalam perancangan jurulatih, Spencer Day.
Selepas membantu Farnborough menewaskan Torquay United pada 17 Ogos lalu, pemain berusia 21 tahun itu mula menunjukkan sengatnya di hadapan gol.
Ini ditampilkan dalam aksi terbaru National League South menentang Eastbourne Borough yang berlangsung pada 21 Ogos lalu. Richard meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi rembatan kencang pada minit ke-26.
Pemain tengah Taylor Clark melengkapkan kemenangan The Yellows menerusi gol pada minit ke-46. Richard turut membantu pasukan itu kekal tanpa bolos untuk kali kedua berturut-turut dalam liga.
Kemenangan ini menyaksikan Farnborough menerajui National League South dengan sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Persembahan terbaru Richard juga dijangka menggembirakan dua pengendali skuad kebangsaan Malaysia, Pau Marti Vicente dan Juan Torres Garrido.
Ini kerana sekiranya bekas pemain The Addicks itu meneruskan kecemerlangannya, ini akan menambah pilihan buat kedua-dua jurulatih itu untuk skuad senior dan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).