Rob Friend: Hukuman CAS Terhadap 7 Pemain Berlebihan
MakanBola
Malaysia NT

Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan Malaysia, Rob Friend, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dam 7 pemain.

Menurut beliau, walaupun terdapat pengurangan terhadap hukuman yang dikenakan, pihaknya percaya hujah yang dibentangkan sebelum ini mempunyai asas yang kukuh untuk menghasilkan keputusan yang berbeza.

“Kami kecewa dengan keputusan keseluruhan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), walaupun terdapat pengurangan terhadap hukuman yang dikenakan. Berdasarkan hujah yang telah dibentangkan, kami percaya terdapat asas yang kukuh untuk keputusan yang berbeza, dan para pemain telah menunjukkan profesionalisme serta integriti sepanjang proses ini,” kata Rob Friend dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa sama, Friend turut berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pemain berkenaan masih terlalu berat dan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang melibatkan situasi hampir sama.

“Pada pandangan kami, hukuman yang dikenakan ke atas pemain masih berlebihan dan kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang melibatkan keadaan yang hampir sama, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan,” jelasnya.

Beliau turut mengakui tempoh yang dilalui para pemain serta kelab masing-masing merupakan satu fasa yang sukar, namun mereka tetap menerima sokongan penuh walaupun tidak terlibat secara langsung dalam isu yang berlaku.

“Ini merupakan tempoh yang amat sukar buat para pemain dan juga kelab mereka, yang terus memberikan sokongan sepanjang proses ini walaupun tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam isu asas yang berlaku,” tambahnya lagi.

Mengulas langkah seterusnya, Friend menegaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah untuk terus berdiri teguh bersama para pemain serta memberi tumpuan kepada aksi penting menentang Vietnam pada penghujung Mac nanti.

“Tanggungjawab kami sekarang adalah untuk berdiri teguh bersama para pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan akan datang menentang Vietnam, dan memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat serta lebih bersatu daripada pengalaman ini.”