Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Friend telah meletakkan jawatannya, berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Perkara ini telah diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu siaran media, termasuklah pengumuman barisan kejurulatihan yang meletak jawatan.
“FAM hari ini mengumumkan bahawa kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend, telah ditamatkan melalui persetujuan bersama antara beliau dan FAM, berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
“Kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Peter Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith serta Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 16 Jun 2026,” lapor kenyataan media FAM.
Bukan itu sahaja, ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain turut menamatkan kontraknya atas persetujuan bersama.
“FAM juga ingin memaklumkan bahawa kontrak Ketua Jurulatih Pasukan B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama, berkuat kuasa pada 15 Jun 2026.
“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan,” tambah laporan tersebut.
FAM juga bakal mengambil tindakan selanjutnya bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan.