Pemain pertahanan Liverpool, Andrew Robertson memilih Xherdan Shaqiri dan bukan Mohamed Salah dari segi sentuhan kaki kiri terbaik.
Pandangan bek kiri berusia 30 tahun itu turut dipersetujui rakan sepasukan, Trent Alexander-Arnold dalam temu bual bersama TNT Sports.
Robertson merasakan pemain sayap Switzerland itu memiliki kemahiran teknikal yang hebat setiap kali melakukan hantaran-hantaran menggunakan kaki kirinya.
“Jangan salah faham, kita tak nafikan kualiti yang dimiliki Mo (Mohamed Salah). Sentuhan kaki kirinya sukar untuk dipercayai,” katanya.
“Tapi macam Shaq (Xherdan Shaqiri), cara dia menghantar bola terutama dari segi kekuatan. (Sentuhan kaki kiri) Shaqiri unik.”
Shaqiri menyertai Liverpool dari Stoke City pada 2018 selepas The Reds mengaktifkan klausa perpindahan bernilai £13.5 juta (RM75.4 juta).
Beliau merekodkan 63 penampilan, lapan gol dan sembilan bantuan gol. Sepanjang berada di Anfield, beliau membantu Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia FIFA.
Selepas meninggalkan Anfield pada 2021, Shaqiri kemudiannya beraksi untuk Olympique Lyon dan Chicago Fire. Beliau kini beraksi dengan kelab lamanya, FC Basel di Switzerland.
Robertson turut memilih kapten Liverpool, Virgil van Dijk sebagai pemain terbaik dari segi corak pertahanan.
Pemain pertahanan Scotland itu juga tidak teragak-agak memilih bekas kapten, Jordan Henderson sebagai pemain terbaik dari segi kepimpinan.