Ramai peminat KL City FC maklum tentang proses naturalisasi membabitkan penyerang Colombia, Romel Morales. Bagaimanapun, status proses untuk penyerang tersebut masih belum diketahui.
Tidak seperti kapten City Boys, Paulo Josue yang menerima status berkenaan sebelum saingan Liga Super bermula, Morales pula masih menunggu proses tersebut selesai.
Bagi bekas penyerang Melaka United FC itu, fokusnya ketika ini ialah memburu slot kesebelasan utama KL City FC. Pada masa sama, beliau mengharapkan ada berita berkenaan status naturalisasinya dalam masa terdekat.
“Saya tidak tahu, saya hanya fokus kepada pasukan saya. Saya hanya fokus kepada perlawanan hari ini selain fokus untuk final (Piala FA) tapi saya berharap akan ada berita gembira tidak lama lagi,” katanya kepada MakanBola selepas perlawanan.
Morales baru-baru ini kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama City Boys. Dan pada Jumaat lepas, bekas penyerang PKNS Selangor FC itu menyumbat gol ketiganya musim ini di mana KL City FC diikat Terengganu FC 3-3.
Penyerang berdarah Colombia itu diharap dapat meneruskan sentuhan golnya apabila KL City FC melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada 15 Julai depan.