Penyerang sensasi Kuala Lumpur City FC, Romel Morales memiliki persamaan yang signifikan selain berpeluang untuk memecahkan rekod yang dipegang oleh bekas peledak berbisa negara, Azman Adnan.
Azman pernah menyarung jersi Kuala Lumpur ketika zaman kegemilangannya dikenali sebagai antara penyerang berbisa di Malaysia.
Beliau juga tersenarai sebagai salah seorang penyerang prolifik bersama The City Boys suatu ketika dahulu apabila menjaringkan 29 gol sepanjang satu musim bersama sekaligus meletakkan beliau pada kedudukan ke-10.
Rekod gemilang tersebut bagaimanapun mungkin bakal dipecahkan oleh Romel tatkala beliau kini hanya dipisahkan dengan satu gol dan berada pada tangga ke-11 penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City.
Azman dalam satu temubual bersama Astro Arena bagaimanapun gembira sekiranya rekod tersebut dipecahkan demi kepentingan pasukan KL.
Romel bagaimanapun berada di bangku simpanan berdepan Terengganu tempoh hari dan dijangka akan terus menjadi pilihan jurulatih, Bojan Hodak untuk mengetuai jentera serangan pasukan.
Ketajaman penyerang berusia 25 tahun itu pastinya ditagih tatkala pasukannya mara ke pentas akhir Piala FA dan bakal bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
Rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan masih lagi dipegang oleh lagenda Singapura, Fandi Ahmad diikuti oleh penyerang berbisa naturalisasi negara, Guilherme De Paula masing-masing dengan 67 dan 66 gol.