Ronald Koeman Bengang Pemain Liverpool Ingkar Arahan

Koeman Gravenberch 1 Ronald Koeman Bengang Pemain Liverpool Ingkar Arahan
Getty Images
Hakim Johari @HakimJohari4
8:55pm 05/09/2023

Pengurus Belanda, Ronald Koeman bengang dengan keputusan pemain Liverpool iaitu Ryan Gravenberch yang telah menolak panggilan skuad kebangsaan Belanda B-21.

Pemain Belanda tersebut baru sahaja menyertai Liverpool dengan yuran perpindahan £35 juta daripada Bayern Munich.

Gravenberch mendedahkan beliau menolak untuk menyertai skuad junior Belanda kerana ingin fokus bersama kelab baharu beliau, Liverpool sepanjang aksi antarabangsa ini.

Perkara ini tidak menggembirakan Ronald Koeman selaku pengurus pasukan senior Belanda setelah melihat terdapat pemain Belanda yang memilih untuk menolak panggilan antarabangsa.

“Kami tidak gembira dengan Ryan Gravenberch. Nigel De Jong sudah menghubunginya tentang perkara ini. Bermain untuk pasukan junior Belanda adalah peluang baginya untuk kembali menyerlahkan diri.” ujar Koeman.

Gravenberch sudah melakukan 11 penampilan untuk skuad senior Belanda namun aksi terakhir beliau bersama skuad senior adalah pada September 2022 yang lalu.

Malah nama Gravenberch tidak disenaraikan untuk Piala Dunia 2022 Qatar tahun lalu.

Ini berikutan situasi Ryan Gravenberch yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan kerap memanaskan bangku simpanan Bayern Munich pada musim lalu.

Ryan Gravenberch kini menyertai Liverpool bagi musim 2023/2024 untuk kembali meraih minit permainan secara tetap.