Peminat badminton Malaysia menerima berita gembira kerana Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan Malaysia Open 2025 secara percuma.
Perkara ini disahkan sendiri Ketua Pengarah RTM, Suhaimi Sulaiman apabila ditanya perkara tersebut di media sosial. “Ya,” jawabnya ringkas dalam satu hantaran di X.
Berita ini disambut baik peminat badminton negara kerana mereka memiliki lebih banyak pilihan untuk menonton kejohanan Jelajah Dunia BWF yang berstatus Super 1000 itu.
Peminat boleh menonton siaran Malaysia Open 2025 di saluran TV Okey dan Sukan RTM. Mereka juga boleh menonton penstriman langsung kejohanan di aplikasi RTMKlik.
Sebelum ini, Astro mengumumkan siaran langsung Malaysia Open 2025 bakal disiarkan di saluran Astro Badminton.
Saingan Malaysia Open 2025 menyaksikan penyertaan 18 wakil negara. Antara yang mengambil bahagian ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Kejohanan ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak AS$1.45 juta (RM6.5 juta). Kali terakhir Malaysia memiliki wakil di final menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.
Saingan Malaysia Open 2025 bakal berlangsung dari 7 hingga 12 Januari ini di Axiata Arena.