Bekas jurulatih Manchester United, Ruben Amorim akhirnya memohon maaf kepada penyokong pasukan itu selepas dipecat enam bulan lalu.
Permohonan maaf itu dibuat dalam sidang media pengenalan beliau sebagai pengurus baharu kelab gergasi Serie A, AC Milan baru-baru ini.
Amorim mengakui dalam tempoh 14 bulan di Old Trafford, beliau banyak belajar daripada pengalaman tersebut. Bekas pengurus Sporting Lisbon itu turut mengakui membuat beberapa kesilapan semasa membimbing United.
“Sukar untuk menjelaskan kesilapan-kesilapan tersebut kerana saya perlu menjelaskan semua (perkara) dalam konteks pengembaraan terakhir (bersama United),” kata Amorim seperti dilaporkan Daily Mail.
“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah saya banyak belajar dan saya melakukan beberapa kesilapan. Saya tidak berpeluang dan saya minta maaf untuk itu – untuk mengatakan sesuatu kepada peminat Manchester United tetapi saya sangat berbangga kerana telah menjadi jurulatih mereka selama setahun.”
Amorim berharap dapat memanfaatkan pengalaman dan pengajaran yang diraih di United membantunya menjadi jurulatih lebih baik bersama AC Milan.
“Sekarang, ini sejarah yang berbeza. Terdapat banyak perkara yang boleh saya lakukan dengan lebih baik dalam pengalaman terakhir (di Old Trafford).
“Tetapi kadang-kadang iaseperti itu. Anda perlu belajar untuk mencapai tahap yang berbeza. Itulah pemikiran saya di sini,” tambahnya.
Selepas Amorim dipecat pada Januari lalu, Michael Carrick memimpin pasukan sebagai pengurus interim. Legenda England itu kemudiannya dipilih sebagai pengganti tetap jurulatih Portugal itu selepas layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Menariknya, kedua-dua jurulatih bakal bertemu dalam aksi persahabatan United dan Milan pada 15 Ogos ini di Wroclaw, Poland.