Rundingan Nafuzi Zain & Terengganu Tidak Capai Kata Putus?
MakanBola
Malaysia NT

Usaha Terengganu FC mendapatkan Nafuzi Zain sebagai pengganti tetap Badrul Afzan Razali dilaporkan tidak berhasil.

Hal ini didedahkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila ditanya tentang usaha Peteh mencari jurulatih baharu menggantikan Badrul Afzan.

Zulhelmi melaporkan Nafuzi antara calon utama pasukan Pantai Timur itu untuk mengambil alih tampuk kejurulatihan. Walau bagaimanapun, rundingan untuk mendapatkan khidmat beliau dilaporkan tidak mencapai kata putus.

Ini ditambah dengan Nafuzi masih memiliki kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih skuad Malaysia B-23.

“Nafuzi Zain berada dalam radar Tengganu tetapi saya difahamkan rundingan itu tidak menemui kata putus.

“Nafuzi saya difahamkan masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun tidak ada tugasan bersama skuad B-23 tahun ini,” katanya kepada Nadi Arena.

Sekiranya situasi ini kekal, Zulhelmi menjangkakan jurulatih interim Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan mengemudi pasukan itu sehingga akhir musim ini.

Apabila ditanya tentang kemungkinan tersebut, Tengku Hazman memaklumkan beliau menyerahkan keputusan itu kepada pengurusan Terengganu.

“Benda itu bagi saya, saya serahkan kepada pengurusan pasukan. Sebab sekarang ini, bila saya diberi peluang (menjadi jurulatih interim), saya ambil benda ini untuk saya buat terbaik.

“Sebab saya rasa peluang ini bukan selalu dapat. Jadi, bila saya diberi peluang, saya akan ambil
peluang ini sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Sejak memikul tugas sebagai pengendali interim pada Januari lalu, Tengku Hazman membantu Terengganu kekal tanpa kalah dalam enam perlawanan.