Penyerang Harimau Malaya dan JDT, Bergson Da Silva mendedahkan individu yang banyak membantu beliau bertutur dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik.
Kelibat Bergson kini menjadi tumpuan para peminat bola sepak tempatan selepas nama beliau mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia setelah bintang JDT itu bermastautin di negara ini selama lima tahun sejak 2021 lalu.
Selama 5 tahun berada di Malaysia, Bergson sudah banyak menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, termasuk dalam kehidupan harian apabila beliau sering menggunakan Bahasa Melayu sehingga videonya berbahasa Melayu tular di media sosial.
Menerusi satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam bulan lalu, Bergson memberitahu bahawa beliau kini kerap berlatih untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik, terutamanya pada hujung minggu.
“Banyak (kali berlatih Bahasa Melayu), selalunya pada hujung minggu.”
“Masih perbaiki dan sedang mencuba yang terbaik untuk bertutur dalam Bahasa Melayu,” jawab Bergson kepada Zulhelmi Zainal Azam.
Bergson yang kini bersama kem Harimau Malaya turut mendedahkan bahawa beliau mendapatkan khidmat guru peribadi untuk mempelajari Bahasa Melayu, selain banyak dibantu rakan sepasukan seperti Arif Aiman dan Afiq Fazail.
“Ada (orang yang mengajar saya Bahasa Melayu), saya memiliki seorang guru peribadi, beliau banyak mengajar saya. Selain itu Arif (Aiman) serta Jambu (Afiq Fazail) turut membantu,”
Usaha Bergson mempelajari Bahasa Melayu jelas menunjukkan kesungguhannya untuk menyesuaikan diri selepas beberapa tahun beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.
Kini, penyerang berusia 34 tahun itu bukan sahaja menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya, malah terus mencuri perhatian peminat dengan usahanya untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik.