Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva gembira dapat memberikan sumbangan kepada Malaysia.
Nama Bergson menjadi tumpuan peminat tempatan setelah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerima kelulusan FIFA untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas melengkapkan proses naturalisasi selama 5 tahun di Malaysia.
Tugas pertama Bergson selaku penggempur negara akan teruji ketika aksi pembukaan FIFA ASEAN Cup berdepan Bangladesh selepas nama beliau disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe dalam 23 pemain yang bakal terbang ke Jakarta nanti.
Ketika ditanya tentang pengalaman berada di Malaysia selama 5 tahun dan peluang besar ini, Bergson sama sekali tidak pernah membayangkan bakal menyarung jersi Harimau Malaya dan memberikan sumbangan sebesar ini.
“Tidak (pernah terbayang akan mewakili Malaysia), sama sekali tidak,” jawabnya ringkas.
Beliau berkata, berada di kem Harimau Malaya ini bagaikan satu impian untuk dirinya dan orang di sekeliling setelah 5 tahun di sini dan peluang sebegini ibarat satu penghormatan besar selain berjanji memberikan yang terbaik.
“Sebab itu saya katakan, berada di sini (kem) umpama suatu impian buat saya, keluarga saya serta orang lain yang telah menempuhi detik-detik ini bersama saya sepanjang lebih 5 tahun,” kata Bergson ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan.
“Jadi, sangat menggembirakan dapat berada di sini kerana mewakili jersi (Harimau Malaya) ini dan untuk negara ini adalah satu penghormatan buat kami semua.
“Kami berada di sini untuk memberikan yang terbaik dan saya adalah salah seorang daripada mereka.”
Bergson dan skuad Harimau Malaya dijadualkan terbang ke Jakarta pada Selasa, 22 September bagi melakukan persiapan terakhir di sana sebelum memulakan kempen FIFA ASEAN Cup bertemu Bangladesh pada Jumaat ini.