Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menjadi antara tiga pemain baharu yang dipanggil menyertai kem Harimau Malaya bagi menghadapi saingan FIFA ASEAN Cup 2026 di Indonesia.
Selain Bergson, dua lagi pemain JDT yang turut menerima panggilan pertama bersama skuad kebangsaan ialah Manuel Hidalgo dan Brad Tapp selepas ketiga-tiga pemain berkenaan mendapat pengesahan kelayakan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bergson, 35, sebelum ini menerima pengesahan FIFA pada 13 September lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu selesai membuat semakan terhadap status kelayakannya untuk mewakili Malaysia.
Pemain kelahiran Brazil itu menyertai JDT pada 2021 dan melengkapkan tempoh lima tahun menetap di Malaysia pada Februari lalu sebelum proses naturalisasinya membuka laluan untuk beliau mewakili Harimau Malaya.
Bergson kini disenaraikan sebagai salah seorang daripada 23 pemain pilihan ketua jurulatih interim kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dengan pemain berusia 35 tahun itu dijangka menjadi antara pilihan di jentera serangan skuad negara.
Sementara itu, Brad Tapp turut menerima pengesahan FIFA pada tarikh yang sama dengan Bergson dan menjadi satu lagi wajah baharu dalam senarai 23 pemain Harimau Malaya kali ini.
Pemain pertahanan berusia 25 tahun itu merupakan pemain kelahiran Sydney dan menyertai JDT daripada kelab Australia, Central Coast Mariners, pada Julai lalu sebelum mendapat kelulusan untuk mewakili Malaysia.
Manuel Hidalgo pula menjadi nama terbaru yang menerima pengesahan FIFA selepas FAM dimaklumkan mengenai kelayakannya pada 16 September lalu, sekali gus membolehkan pemain kelahiran Argentina itu disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya.
Hidalgo, 27, telah melengkapkan tempoh lima tahun bermain di Malaysia selepas memulakan kariernya di negara ini bersama Sri Pahang pada 2021 sebelum menyertai JDT pada 2024.
Ketiga-tiga pemain JDT itu kini menjadi sebahagian daripada 23 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia dalam FIFA ASEAN Cup 2026, dengan Bergson, Hidalgo dan Tapp bakal merasai pengalaman pertama bersama skuad senior kebangsaan.