Selepas membantu kelab dari utara Wales, Wrexham kembali ke League Two, kini pemilik pasukan itu yang juga selebriti Hollywood, Ryan Reynolds berminat memiliki pasukan baru. Reynolds khabarnya bakal mengetuai sebuah konsortium pelabur untuk mengambil alih kelab National Hockey League (NHL), Ottawa Senators.
Menurut akhbar Ottawa Sun, konsortium itu merancang bidaan berjumlah AS$1 bilion (RM4.46 bilion) sebagai pemilik baru pasukan. Penjualan Senators dibuat selepas pemilik kelab tersebut, Eugene Melnyk meninggal dunia pada Mac 2022.
Selain Reynolds, usaha pengambilalihan ini turut disokong oleh jutawan hartanah, Christopher Bratty. Sekiranya pengambilalihan ini mendapat lampu hijau, kedua-duanya bersedia mengalu-alukan penyertaan pelabur-pelabur tempatan.
Pelakon filem Deadpool itu dijangka bakal menjadikan komuniti sebagai teras utama perniagaan Senators, resepi sama yang digunakan untuk Wrexham. Perjanjian ini dijangka akan menjadi pengambilalihan terbesar pernah direkodkan NHL selepas penjualan Pittsburgh Penguins dengan nilai £716.5 juta (RM4.01 bilion) dua tahun lepas.
Ramai percaya selepas kejayaan siri dokumentari Welcome to Wrexham terbitan Disney+, Reynolds dijangka menghasilkan dokumentari sama untuk pasukan yang berpangkalan di Ottawa, Kanada itu.
Berita ini muncul tidak lama selepas Wrexham mengesahkan kepulangan mereka ke League Two dengan kemenangan 3-1 ke atas Boreham Wood.