Pasukan Liga Super, Sabah FC difahamkan akan menerima tajaan bernilai jutaan ringgit dari sebuah syarikat perfileman bagi meneruskan kelangsungan perjalanan musim 2023.
Perkara ini dikongsikan oleh laman FH Cinema berkenaan hasrat yang dizahirkan oleh sebuah syarikat Penerbit dan Pengedar Filem mengenai hasrat mereka untuk menaja pasukan bola sepak Sabah FC.
Perkara yang hangat diperkatakan itu bagaimanapun terjawab apabila Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat tersebut iaitu Freddy Harmthon memaklumkan perkara itu sudah lama dibincangkan namun terdapat beberapa halangan sebelum ini.
“Hasrat ini belum dibincangkan bersama dengan pasukan Sabah FC, namun kita akan bincangkan perkara tersebut secara lanjut setelah beberapa langkah kita dapat laksanakan.”
“Ketika ini, kita ada platform digital pemasaran filem dan muzik yang baharu diperkenalkan, dan banyak filem dan album muzik serta produk kini sedang kita pasarkan. Ini adalah kekuatan kita untuk menaja pasukan ini.
“Kita yakin dengan sokongan semua pihak yang cintakan hiburan dan sukan, hasrat ini pasti akan tercapai,” katanya menurut FH Cinema.
Syarikat tersebut dikatakan berhajat untuk menaja sebesar sejuta ringgit kepada Sang Badak sekiranya sekiranya langganan produk filem, muzik dan program, mencapai sasaran sebanyak dua juta langganan.
“Selain membantu pasukan Sabah FC untuk mendapat dana, kaedah ini juga adalah sebagai langkah untuk menambah pendapatan pengkarya filem dan muzik yang kini sedang memasarkan karya masing-masing di laman sesawang FHE Cinema, milik syarikat ini lalu mencipta peluang pekerjaan yang luas dalam bidang ini.”
Nilai tajaan ini sudah pasti bakal membantu perjalanan musim The Rhinos yang kini beraksi di Asia dan menampung pelbagai kos berkaitan.