Pasukan Sabah berjaya mencatat dua pencapaian membanggakan di pentas Asia.
Ini selepas anak buah kendalian Ong Kim Swee mengesahkan kemaraan ke separuh akhir zon ASEAN. Sabah merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia yang layak ke pusingan seterusnya ketika JDT di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Terengganu di Piala AFC menamatkan kempen di peringkat kumpulan.
Bukan itu sahaja, Sabah juga menjadi pasukan dari Malaysia yang mencatat jaringan terbanyak.
Skuad The Rhinos merekodkan 19 gol dan hanya dibolosi sembilan jaringan. Mencatat empat kemenangan dan dua kekalahan, Sabah diangkat sebagai juara Kumpulan H.
JDT di pentas ACL pula mencatat 11 jaringan dan 13 bolos selepas enam perlawanan. Menamatkan kempen di kedudukan ketiga dalam saingan kumpulan, anak buah kendalian Esteban Solari mencatat tiga kemenangan dan tiga kelalahan.
Terengganu dalam pada itu menamatkan kempen tanpa sebarang kekalahan namun terpaksa akur sebagai naib juara kumpulan. Skuad Peteh meledak 10 jaringan dan dibolosi sebanyak enam kali.