Sabah FC menerima tamparan hebat apabila penjaga gol mereka, Damien Lim terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan penjaga gol berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL).
Kecederaan ini dialami semasa beliau turun menentang Hougang United dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) baru-baru ini.
Kecederaan tersebut memerlukan Damien perlu berehat selama enam hingga lapan minggu. Keadaan ini memaksa beliau bukan saja terlepas beberapa perlawanan awal Liga Super.
Malah, Damien juga tidak dapat mengikuti rombongan skuad Badak ke Indonesia pada penghujung bulan ini untuk kejohanan RCTI Premium Sports.
“Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee sahkan penjaga gol, Damien Lim terpaksa diketepikan untuk tempoh 6 ke 8 minggu susulan kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) yang dialaminya ketika saingan SMJ Cup berdepan Hougang United 29 April lalu,” katanya di X.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu sering menggalas peranan sebagai penjaga gol sokongan kepada penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat.
Meskipun begitu, Damien kerap diberi peluang oleh Datuk Ong Kim Swee sebagai penjaga gol utama. Beliau merekodkan 16 penampilan dalam semua kejohanan pada musim 2023 termasuk Piala AFC.
Keadaan ini menyaksikan Ramzi Mustakim bakal menggalas peranan sebagai penjaga gol sokongan menjelang aksi KL City FC menentang Sabah pada Ahad ini.