Advertisements
Sabah Hilang Khidmat Darren Lok
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC terpaksa melupakan khidmat penyerang kebangsaan, Darren Lok untuk beberapa perlawanan Liga Super.

Sebelum ini, ramai penyokong Sang Badak bimbang apabila penyerang berusia 33 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama aksi New Zealand menentang Malaysia.

Isu kecederaan mendorong pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memasukkan Akhyar Rashid sebagai pengganti bekas penyerang PJ City FC itu. Perlawanan itu kemudiannya berakhir dengan kekalahan 4-0 skuad negara di tangan All Whites.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan Sabah terpaksa menyisihkan khidmat Darren kerana beliau mengalami kecederaan hamstring.

“Penyerang Harimau Malaya Darren Lok cedera hamstring dalam aksi persahabatan antarabangsa bertemu New Zealand, dijangka terlepas beberapa perlawanan Liga Super,” katanya di X.

Situasi ini bakal memeningkan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dalam mencongak percaturan terbaik untuk menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Kali terakhir Sabah meraih kemenangan ialah aksi menentang Sri Pahang FC pada 9 Ogos lalu. Sang Badak meraih kemenangan 3-2 ke atas Tok Gajah di Temerloh.

Sabah bakal bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk menentang Perak FC pada 19 Oktober ini.