Menjelang tetingkap perpindahan kedua pada Jun ini, pasukan-pasukan Liga Super mula menambahbaik skuad mereka. Hari ini, Sabah mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku.
Keputusan menamatkan kontrak secara bersama dibuat bukan saja membolehkan Njoku meneruskan kariernya dengan pasukan lain. Malah, ini membantu skuad Badak mengenalpasti penyerang baru bagi memantapkan jentera serangan mereka.
Njoku banyak beraksi dengan skuad simpanan Sabah yang beraksi di Piala MFL. Begitupun, penyerang Nigeria itu sempat membuat dua penampilan Liga Super bersama pasukan yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee itu.
Penampilan Njoku yang paling diingati ialah sepakan penalti panenka yang diambilnya semasa membantu Sabah mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) II 1-1 pada 30 Mac lalu.
Dengan ketiadaan Njoku, Sabah kini memiliki enam pemain import. Mereka ialah Park Tae-soo, Ko Kwang-min, Saddil Ramdani, Telmo Castanheira, Gabriel Peres dan Jailton Paraiba.
Tidak diketahui siapa yang bakal dicari Kim Swee sebagai pemain sokongan di bahagian serangan. Tetapi siapa saja yang dipilih, pemain berkenaan perlu menambah sengat di bahagian berkenaan.
Ini kerana penyerang utama pasukan, Darren Lok hanya menjaringkan dua gol dalam 10 perlawanan setakat ini. Ketumpulan bekas penyerang PJ City ini perlu diatasi segera oleh Kim Swee sekiranya mahu mengulangi pencapaian tempat ketiga Liga Super musim lepas.