Sabah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan Ketua Jurulatih Baharu.
The Rhinos menerima tamparan hebat apabila kehilangan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang membawa haluan ke Indonesia.
Pasukan di bawah bayu itu mahu meneruskan rentak cemerlang sekaligus segera memuktamadkan pengendali baharu baru-baru ini.
Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengendali baharu pasukan ialah individu kelahiran Slovakia, Martin Stano.
“Sabah mengumumkan Martin Stano pemegang Lesen Pro dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu dengan dibantu Penolong Jurulatih, Alto Linus sehingga tamat musim 2024/2025.
“Sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai Ketua Jurulatih interim bersama-sama Martin Stano sebagai Penolong Jurulatih interim merangkap Jurulatih Kecergasan.
Sabah mahu memastikan bahawa momentuk cemerlang pasukan dapat diteruskan menjelang baki saingan musim ini.
“Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan,” ujar Sabah dalam satu kenyataan.
Jurulatih kecergasan berusia 47 tahun itu pernah berkhidmat bersama skuad Malaysia B-23 dan juga skuad utama kini memegang tugasan besar bersama skuad senior Sabah.
Ujian berikutnya buat Sabah adalah aksi menentang Kuching City bagi aksi suku akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada 15 Disember ini.