Advertisement
Sabah Pasang Cita-Cita Besar Di Asia
UltraSukan
UltraSukan
Sabah FA Women’s Team

Jurulatih skuad bola sepak wanita Sabah, Justin Ganai mahu membawa pasukan itu layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) musim 2024/25.

Sabah berjaya layak ke peringkat kumpulan AWCL selepas mengungguli Kumpulan C di pusingan kelayakan.

Kini, pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu bakal berdepan cabaran wakil Korea Selatan, Incheon Red Angels, Wuhan Jiangda (China) dan Abu Dhabi Country Club (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) dalam Kumpulan A.

Justin mengakui bukan mudah menghadapi cabaran tiga pasukan berkenaan kerana ketiga-tiganya merupakan pasukan hebat.

Pada masa sama, beliau percaya dengan kemampuan anak buahnya untuk melakar satu lagi catatan sejarah dalam babak bola sepak wanita Sabah dan Malaysia.

“Sudah tentu kita mahu menang dan layak ke pusingan seterusnya. Tapi kita bercakap tentang pasukan Korea (Incheon Red Angels), UAE (Abu Dhabi Country Club) dan Wuhan (Jiangda) dari China.

“Mereka semua pasukan besar dan mereka pasukan yang bagus. Tapi kita akan cuba yang terbaik dan kita harap ada keajaiban untuk membawa kita ke pusingan seterusnya,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan seperti yang dilaporkan Nadi Arena.

Cabaran Sabah di peringkat kumpulan turut dimantapkan dengan kehadiran beberapa tonggak import baru.

Dua tonggak import di bahagian pertahanan dari Jepun, Aoi Kizaki dan Saki Ueno sah menyertai pasukan itu. Mereka menyertai rakan senegara, Eri Narita dan Misaki Nakayama yang menyertai Sabah untuk kempen pusingan kelayakan.

Selain empat tonggak import Jepun, Sabah turut diperkuat penggempur skuad wanita Myanmar, Win Theingi Tun. Dua tonggak Malaysian Tigress, Steffi Sarge Kaur dan Intan Serah Anisah Zulgafli turut memperkuat cabaran Sabah di pentas AWCL.

Sabah bakal membuka cabaran Kumpulan A dengan menentang Incheon Red Angels di Pusat Sukan Kebudayaan Hankou, Wuhan pada 3 Oktober ini.