Kempen skuad bola sepak wanita Sabah dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) semakin mantap dengan kehadiran tonggak import baru dari Jepun, Saki Ueno.
Perpindahan pemain berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan Sabah menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka.
Ueno yang juga bekas pemain kebangsaan Jepun pernah beraksi untuk JEF United, Urawa Reds Ladies dan kelab Laos, Young Elephants.
Malah, beliau turut beraksi dalam pusingan kelayakan Kumpulan A AWCL bersama Young Elephants pada Ogos lalu. Young Elephants gagal layak selepas menduduki tempat ketiga kumpulan dengan tiga mata.
“Selamat datang ke Sabah, Saki Ueno! Berasal daripada Chiba Japan, Saki merupakan pemain pertahanan yang sebelum ini bermain untuk pasukan JEF United, Urawa Reds di Jepun dan Young Elephants di Laos.
“Pernah mewakili pasukan kebangsaan Jepun dan pernah memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik di Liga Jepun. Saki akan memperkuatkan skuad Sabah untuk saingan AFC yang akan bermula minggu hadapan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ueno bakal menyertai dua rakan senegara yang beraksi untuk Sang Badak iaitu Eri Narita dan Misaki Nakayama. Selain trio Jepun itu, penyerang Myanmar, Win Theingi Tun turut memperkuat pasukan Sabah.
Mereka disertai oleh dua tonggak utama Malaysian Tigress iaitu Steffi Sarge Kaur dan Intan Serah Anisah Zulgafli. Steffi dan Intan Serah menyertai Sabah secara pinjaman untuk membantu kempen AWCL kelab itu.
Sabah layak ke saingan peringkat kumpulan AWCL selepas muncul juara Kumpulan C. Kelayakan mereka disahkan dengan menewaskan Nasaf 2-1 pada 31 Ogos lalu.