Sabah mengumumkan ketibaan bintang muda dari Jepun untuk memperkuat pasukan bagi menghadapi kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL).
Ketibaan pemain yang dikenali sebagai Misaki Nakayama ini diumumkan menerusi hantaran di Facebook Persatuan Bola Sepak Sabah pada Jumaat
“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan pemain tengah baru kami, Misaki Nakayama, yang berasal dari Kanagawa, Jepun,” umum Sabah FA.
Misaki menyertai juara Liga Wanita Nasional 2023 ini dari kelab Jepun, Yamato Slyphid pada usia 21 tahun sekaligus menjadikan beliau pemain import pertama buat Sabah.
“Pada usia hanya 21 tahun, Misaki menyertai Sabah FA dari Yamato Sylphid. Selamat datang ke Negeri dibawah Bayu Misaki!”
Sebelum ini, Misaki dilihat sudah pun menjalani latihan bersama skuad kendalian Justin Ganai sejak seminggu yang lalu bersama seorang lagi pemain import yang belum diumumkan.
Sabah akan membuka kempen kelayakan Kumpulan C dengan aksi menentang APF pada 28 Ogos dan disusuli perlawanan kedua menentang Nasaf pada 31 Ogos.
Hanya juara kumpulan akan meraih slot automatin ke saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang akan bermula pada awal Oktober nanti.