Cabaran Sabah FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) musim 2024/25 semakin mantap menerusi kehadiran seorang pemain import.
Sabah mara ke peringkat kelayakan AWCL selepas muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023. Pasukan itu bakal berentap dalam Kumpulan C bersama kelab Uzbekistan, Nasaf dan kelab Nepal, APF.
Pusingan kelayakan Kumpulan C bakal berlangsung di Malaysia. Sekiranya berjaya mengatasi cabaran dua pasukan berkenaan, Sabah berpotensi mara ke peringkat kumpulan AWCL.
Bagi membantu Sabah menghadapi cabaran kelayakan Kumpulan C, pasukan itu bakal diperkuatkan dengan beberapa tonggak import.
Dan pada 12 Ogos lalu, kelibat pemain import Sabah dilihat buat kali pertama oleh penyokong pasukan itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Pemain import yang tidak didedahkan identitinya itu dilihat menjalani sesi latihan bersama Sabah. Sebaik beberapa gambar pemain import tersebut disiarkan, ada yang berspekulasi Sabah merekrut pemain import dari Korea Selatan atau Jepun.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada pengurusan Sabah berkenaan identiti pemain import yang dinyatakan.
Yang pasti, kehadiran pemain import ini bakal memperkuat cabaran wakil Borneo itu bila mendepani kempen kelayakan AWCL.
Sabah akan membuka kempen Kumpulan C dengan menentang APF pada 28 Ogos. Ini disusuli perlawanan menentang Nasaf pada 31 Ogos.