Selepas memukau para penyokong dengan jersi away yang diinspirasikan oleh Sumandak (wanita), hari ini Sabah memperkenalkan jersi home mereka untuk saingan Liga Super musim ini.
Jersi home berwarna merah itu diperkenalkan dalam majlis pelancaran jersi baru Sabah musim 2023 yang diadakan di Stadium Likas hari ini. Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Jersi yang dihasilkan Lotto itu terus menggunakan warna merah yang sinonim sebagai jersi home tradisi skuad Badak. Dengan warna merah yang tampak garang dan rekaan yang kemas, ramai merasakan jersi kali ini lebih cantik daripada jersi-jersi home sebelumnya.
Sejak dimuatnaik di laman media sosial kelab, ramai memuji rekaan jersi berkenaan. Malah, ada berpandangan jersi buatan Lotto itu persis rekaan jersi Manchester United musim ini yang dihasilkan Adidas.
Penyokong bakal berpeluang melihat jersi ini buat kali pertama di atas padang dalam perlawanan pra-musim Sabah menentang Tampines Rovers malam ini.