Pasukan Sabah FC menafikan bahawa saham kelab tersebut bakal dijual.
Perkara ini telah dijelaskan oleh The Rhinos mengenai kedudukan semasa pasukan berhubung isu yang tular berhubung penjualan saham kelab.
Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa SAFA tidak pernah berunding dengan pihak yang mendakwa menerima tawaran penjualan saham Sabah FC.
Bukan itu sahaja, Sabah juga memaklumkan bahawa Presiden SAFA tidak melakukan pertemuan dengan mana-mana pihak bagi penjualan saham pasukan.
“Presiden SAFA tidak pernah bertemu individu atau mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC apatah lagi memaklumkan kepada YAB CM berkenaan perkara tersebut,” ujar kenyataan kelab.
Penjelasan yang dilakukan oleh pihak kelab ini bertujuan untuk memastikan bahawa tiada sebarang salah faham berkenaan khabar pasukan Sabah FC.
“Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan isu ini,” tambahnya.
Sabah kini berada dalam momentum terbaik apabila menghuni kedudukan ketiga Liga Super dengan 26 mata selepas 14 aksi yang dilalui.