Dua pemain Sabah FC mengambil keputusan meninggalkan pasukan Liga Super itu. Dua pemain tersebut ialah Harith Naem Jaineh dan pemain tengah Croatia, Duje Ljubic.
Status dua pemain itu diumumkan pengurusan Sang Badak menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.
“Sabah FC ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Duje Ljubic dan Harith Naem kerana telah menjadi sebahagian penting dalam Skuad Badak musim lalu. Selamat Maju Jaya dalam perjalanan kerjaya seterusnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Harith Naem dan Ljubic masing-masing merekodkan 26 dan 16 penampilan bersama Sang Badak pada musim lalu. Mereka menjadi sebahagian daripada skuad Sabah yang bergelar juara MFL Challenge Cup.
Harith Naem kini mengalihkan fokus menjadi jurulatih. Perubahan itu diketahui menerusi pengumuman yang dibuat Akademi Bola Sepak PTS baru-baru ini.
“Kami teruja mengalu-alukan Coach Harith Naem ke Akademi Bola Sepak PTS. Muda, bersemangat dan sedia untuk berkembang bersama pemain kita.
“Di PTS, kita percaya kejurulatihan lebih daripada bola sepak. Ia juga berkisar tentang membantu pemain muda bertambah baik, membina keyakinan dan maju bersama-sama. Jurulatih baru. Semangat sama. Masa depan yang lebih besar,” kata akademi dalam satu kenyataan.
Harith Naem dan Ljubic menjadi pemain terbaru meninggalkan Sabah. Selain mereka, antara pemain yang meninggalkan Sang Badak ialah Gabriel Peres, Jafri Firdaus Chew, Khairul Fahmi Che Mat, Gary Steven Robbat dan Ernesto Phumipha.