Kelibat pemain sayap sensasi Malaysia, Safawi Rasid kembali meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air ketika ini.
Masa depan pemain berusia 26 tahun itu kembali menjadi tanda tanya susulan kenyataan yang dibuat oleh Dulu Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) tentang beliau.
Baginda menjelaskan bahawa Safawi menyatakan rasa kurang selesa untuk beraksi di Thailand apabila beliau ketika ini dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.
Sepanjang berada di sana, beliau telah pun beraksi sebanyak 11 kali dan menjaringkan satu gol.
Menurut penjelasan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, beliau melihat faktor minit permainan boleh menjadi punca Safawi tinggalkan Ratchaburi.
“Kalau kita lihat Safawi hanya beraksi dalam 11 perlawanan dan mencatat satu gol dalam kurang 750 minit yang diberikan.”
“Statistik memunjukkan bahawa dengan minit yang diperoleh Safawi yang sudah berusia 26 tahun sememangnya tidak mencukupi,” jelasnya kepada Astro Arena.
Asmawi juga merasakan bahawa perbincangan perlu dilakukan bersama TMJ tentang hala tuju anak kelahiran Terengganu ini.
Beliau juga mencadangkan tiga kelab yang berkemungkinan menjadi destinasi Safawi.
“Bantuan mungkin akan diberikan oleh TMJ untuk membantu Safawi untuk pulang beraksi di Malaysia sama ada menyertai Sri Pahang, Terengganu atau kekal di JDT.”
Pemain sayap JDT ini juga masih dilihat sebagai tunjang utama buat skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.