Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali telah menitikberatkan isu keselamatan kepada para pemain bola sepak Malaysia ekoran insiden yang menimpa Faisal Halim dan Akhyar Rashid.
Perkara yang menimpa Faisal Halim dan Akhyar Rashid tidak boleh dipandang remeh memandangkan kes tersebut melibatkan nyawa selain boleh menjejaskan karier selaku pemain bola sepak profesional.
Safee Sali berpendapat pemain bola sepak harus mengutamakan keselamatan diri apabila berada dikhalayak ramai buat ketika ini selain melantik pengawal keselamatan peribadi sekiranya perlu.
Malah bekas penyerang negara itu turut bersetuju dengan saranan pengacara Astro Arena tentang keperluan pemain bola sepak mengehadkan perkongsian peribadi dilaman media sosial.
“Saya setuju kerana dalam media sosial tidak semua benda kita perlu kongsikan. Kita akan membuka ruang kepada orang atau peminat mengetahui keberadaan kita.”
“Kita harus tahu batas tentang apa yang kita paparkan di media sosial. Itu adalah satu pembelajaran dan kita kena belajar perkara itu.” ujar Safee Sali.
Safee Sali turut meluahkan simpati dan bersedia menghulurkan sebarang bantuan selaku Presiden PFAM kepada Faisal Halim dan Akhyar Rashid yang terlibat dalam insiden yang tidak diingini.
Sebelum ini Akhyar Rashid telah menjadi mangsa samun dan turut dipukul dengan cota manakala Faisal Halim pula disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali sewaktu berada di pusat beli-belah.