Bekas pemain badminton kebangsaan, Sairul Amar Ayob berpandangan kem badminton Malaysia belum bersedia untuk menghasilkan beregu eksperimen yang berkualiti.
Pandangan itu disuarakan beliau selepas melihat prestasi beberapa beregu eksperimen dari beberapa negara Asia sejak kebelakangan ini.
Antara beregu eksperimen yang dilihat menyerlah ialah beregu lelaki Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.
Beregu Korea Selatan itu bukan saja berjaya muncul juara Malaysia Open 2025. Malah, Won-ho-Seung-jae turut mencipta kejutan ke atas beberapa beregu pilihan termasuk bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik dilihat tiada jawapan kepada permainan mantap Won-ho-Seung-jae dalam aksi separuh akhir India Open 2025. Beregu negara itu tumbang dengan keputusan 22-20, 21-19.
Langkah Won-ho-Seung-jae terbantut di pentas final apabila tewas kepada satu lagi beregu Malaysia dan penyandang juara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sairul melihat beregu eksperimen yang dibuat beberapa negara seperti Korea Selatan, Thailand dan Jepun berjaya kerana mereka berjaya mengekalkan kualiti permainan.
Atas sebab itu, sekiranya Malaysia ingin mencuba langkah sama, Sairul melihat kualiti permainan pemain yang dipilih harus menjadi keutamaan.
“Walaupun mereka beregu eksperimen, standard permainan itu saya rasa ada kualiti di situ,” katanya kepada Nadi Arena baru-baru ini.
“Tapi kalau Malaysia nak cuba beregu eksperimen, adakah kualiti beregu tersebut masih sama atau tidak? Atau pemain baru ini boleh bawa standard permainan yang sama?
“Yang itu yang kita perlu tanya. Tapi kalau saya nampak itu, saya rasa (kualiti) beregu eksperimen lebih teruk saya rasa.”
Beregu negara dijangka berdepan satu lagi beregu eksperimen dari Korea Selatan. Ini kerana Seung-jae bakal membentuk satu lagi gandingan dengan Jin Yong dalam saingan Indonesia Masters 2025.
Seung-jae-Jin Yong membuktikan mereka beregu berbisa dengan menjuarai saingan China Masters 2024 pada November tahun lalu.