Bekas jurulatih Malaysia, Sairul Amar berkongsi pandangan beliau mengenai prestasi tak menentu yang melanda para pemain perseorangan lelaki negara ketika ini.
Sektor perseorangan lelaki negara ketika ini dilihat berada di situasi menggusarkan sejak persaraan Datuk Lee Chong Wei apabila hanya Lee Zii Jia sahaja berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia.
Manakala pemain perseorangan kedua negara pada ketika ini Leong Jun Hao pula berada di kedudukan ke-29 dunia diikuti bintang muda, Justin Hoh yang menghuni ranking ke-49.
Dalam satu sesi audio siar yang dikenali The BangMed Show, bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Sairul Amar sempat berkongsi pandangan hasil pengalaman beliau membimbing pemain negara.
“Daripada pemerhatian coach Sairul sendiri, apa masalah perseorangan lelaki Malaysia itu sendiri?” Soal Shahrazad Sani atau Bang Med selaku moderator audio siar tersebut.
Menurut Sairul, sikap pemain yang terlalu menuntu sesuatu perkara perlu segera diubah apatah lagi jika tiada sebarang keputusan cemerlang yang dilakar oleh pemain tersebut.
“Pemain jugalah (saya rasa), pemain kena ubah. Kadang kala keputusan pun tidak ada tapi mahukan itu dan ini,” ujar Sairul.
Tambah beliau, jurulatih kini juga perlu memainkan peranan dengan merapatkan diri bersama pemain dan jangan hanya bersikap pentingkan hal sendiri kemudian
“Jurulatih pula kena pandai ambil hati pemain, buat mereka kawan. Itu memang hakikat perjalanan sekarang memang perlu seperti itu,” kata Sairul lagi dalam sesi audio siar itu.
“Kamu tak boleh habis waktu bekerja terus angkat kasut dan angkat beg, masuk kereta kemudian pulang. Selepas itu esok datang jumpa lagi, arah pemain buat itu buat ini.”
Pada pandangan Sairul sendiri yang pernah melatih pemain negara, aspek hubungan antara pemain serta jurulatih amat penting dan perlu segera diwujudkan.
“Memang pemain akan buat (setiap arahan yang diberikan), tapi hubungan (antara jurulatih dan pemain) itu tiada. Perlu ada bonding,” kongsi Sairul lagi.
Kini, tugasan penting membentuk dan membimbing pemain-pemain perseorangan lelaki negara terletak di tangan ketua jurulatih baharu, Kenneth Jonassen yang dilantik pada Sabtu lalu.