Ramai peminat hoki Malaysia tertanya-tanya ke mana kelibat penyerang Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari dalam sesi pemilihan 30 pemain hoki senior semalam.
Jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh kemudiannya mendedahkan Faizal tidak dapat bersama skuad hoki senior kerana perlu memenuhi komitmen beraksi untuk kelab Bangladesh, Mohammedan Sporting Club.
Perkara ini berlaku kerana pada penyerang THT itu tidak menjadi sebahagian daripada skuad senior yang beraksi untuk pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Valencia, Sepanyol pada Januari lalu.
Keadaan ini mendorong Faizal untuk menerima jemputan beraksi dalam saingan liga hoki Bangladesh.
Dengan namanya kembali tersenarai dalam skuad The Speedy Tigers, Sarjit memaklumkan penyerang THT itu tidak akan menerima jemputan beraksi di luar negara selepas ini.
“Faizal (Saari) kena main di Bangladesh sebab beliau (pada awalnya) tiada dalam skuad kebangsaan. Jadi, beliau buat perancangan untuk pergi ke sana sebab beliau bukan dalam skuad kebangsaan.
“Macam Fitri (Saari), beliau pun nak pergi main juga hari itu tapi beliau tak boleh sebab beliau dalam pasukan kebangsaan.
“Faizal, beliau bukan dalam perancangan skuad yang sebelumnya untuk kejohanan (pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024) jadi beliau buat rancangan awal untuk pergi.
“Jadi, saya tak boleh kacau. Tapi lepas ini, memang beliau tak boleh pergilah,” katanya kepada media pada sesi pemilihan pemain hoki senior semalam.
Faizal merupakan antara tonggak berpengalaman dalam skuad hoki senior negara dengan merekodkan 285 penampilan di pentas antarabangsa.
Beliau juga sudah merekodkan enam penampilan untuk temasya Sukan Asia dan Piala Dunia Hoki.
Selain Faizal, dua lagi pemain mengikut jejaknya beraksi untuk Mohammedan Sporting Club. Mereka ialah Zulpidaus Mizun dan tonggak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Faiz Helmi Jali berdasarkan maklumat yang dikongsikan Hokita.