Advertisement
Sarjit Singh Minta 18 Bulan Kenal Pemain Terbaik Malaysia
UltraSukan
UltraSukan
Astro Arena

Jurulatih baru skuad hoki Malaysia, Sarjit Singh melihat tempoh 18 bulan sebagai tempoh sesuai untuk mengenalpasti pemain terbaik negara.

Ini kerana beliau ingin mengenalpasti pemain negara yang memiliki kualiti beraksi di pentas antarabangsa sekaligus merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan handalan dunia.

Meskipun mengakui Malaysia memiliki ramai pemain hoki berbakat, Sarjit melihat tidak ramai pemain yang memiliki kualiti antarabangsa.

Lantas, beliau ingin mengenalpasti lebih ramai pemain yang memiliki kualiti sebegitu bagi membolehkan The Speedy Tigers mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Saya fikir pertama sekali, kita perlu melihat kualiti pemain yang kita ada. Sudah tentu kita ada pemain (hoki berbakat) bermain untuk Malaysia tetapi ada kualiti antarabangsa ada tak?

“Kita mungkin ada pemain sebegitu tetapi tidak ramai. Kita mungkin ada tetapi kita nak lagi ramai pemain (bertaraf antarabangsa).

“Jadi, soalan itu saya hanya boleh jawab sebagai jurulatih bila saya bersama pemain. Kemudian saya akan beri anda jawapan dalam tempoh 14-18 bulan, saya akan beri jawapan yang bagus kepada anda.

“Bagi mana-mana jurulatih, untuk kenal dan kerjasama dengan pemain, itu ambil masa 14-18 bulan. Kemudian, anda akan tahu hala tuju mana saya akan ambil,” katanya dalam sidang media khas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang berlangsung pada hari ini.

Sarjit dilantik menggantikan pengendali The Speedy Tigers sebelumnya, Arul Selvaraj. Beliau dilantik dengan kontrak selama dua tahun.

Antara tugas pertama Sarjit untuk skuad hoki negara ialah mengharungi cabaran Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung pada 4-11 Mei ini.