Kem badminton Malaysia terus dihimpit dengan masalah kecederaan melibatkan para pemain.
Terbaharu, pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan disahkan oleh jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto saat ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.
Nova berkata, sesi latihan beregu campuran nombor satu negara ini sedikit terganggu kerana kecederaan tangan yang dialami Toh Ee Wei.
”Saya rasa mungkin (Chen) Tang Jie okay tapi Toh (Ee Wei) mungkin masih ada sedikit (kecederaan) di fizikal kerana di tangannya ada rasa sakit, jadi belum boleh (latihan) penuh,” katanya kepada Astro Arena.
Walau bagaimanapun, beliau percaya pemain kelahiran Melaka itu akan segera kembali ke gelanggang dalam masa terdekat dan berharap kondisinya akan baik menjelang kejohanan di Eropah nanti.
”Tapi mulai minggu ini, (Toh Ee Wei) sudah boleh berlatih secara penuh,” tambahnya yang ditemui di ABM.
”Mudah-mudahan sampai Eropah beliau sudah baik.”
Sebelum ini, isu kecederaan melibatkan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong sedang hangat diperkatakan yang menyaksikan pemain berusia 24 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan.
Tze Yong terpaksa melupakan dia kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Perancis dan All England akibat kecederaan belakangnya itu.
Ee Wei kini sedang dalam proses pemulihan dan dijangka memulakan latihan penuh dalam masa terdekat bagi menghadapi kejohanan-kejohanan yang akan datang.
Terbuka Perancis dilihat bakal menjadi destinasi seterusnya bagi Ee Wei dan pasangannya untuk kembali mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 selain memperbaiki kedudukan ranking.
Toh Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie yang kini menghuni ranking kesembilan dunia dan sedang dalam misi mengejar mata bagi melayakkan diri ke temasya berprestij itu.