Advertisement
“Saya Dah Bagi Semua, Tak Mahu Alasan Lagi” – Arul Selvaraj
UltraSukan
UltraSukan
Hokita

Ketua jurulatih hoki Malaysia, Arul Selvaraj mahu anak-anak buahnya berusaha sehabis baik bagi merebut tiket ke Olimpik menjelang aksi Kelayakan Olimpik yang bakal bermula 13 Januari nanti.

Beliau menegaskan bahawa para pemainnya perlu sedar akan tanggungjawab untuk memberikan aksi terbaik untuk layak ke sukan berprestij itu setelah segalanya telah dicurahkan kepada pemain-pemainnya.

“Saya serahkan kepada pemain, semuanya terletak kepada mereka untuk mengambil tanggungjawab dan memberikan kemahuan tinggi layak ke Olimpik. Kalau semua ada kemahuan tinggi untuk menang, makan dan tidur dengan betul, maka kita ada peluang cerah”, ujar beliau ketika sesi latihan skuad kebangsaan.

“Kalau mereka balik tidur tak fikir mengenai apa yang perlu dilakukan, maka susahlah. Pemain perlu ambil tanggungjawab lebih untuk layak ke Olimpik. Saya dah bagi semua, saya tak mahu alasan lagi, mereka perlu buktikan di atas padang,” katanya lagi.

Beliau juga ambil maklum berkenaan krisis kecederaan yang melanda skuad negara kini, dan yakin para pemain mampu kembali seterusnya membawa pasukan layak ke peringkat seterusnya.

“Shahril ikut pasukan ke (Jelajah) New Zealand awal bulan ini, tetapi dia langsung tak bermain. Saya bawa juga pemain-pemain yang mengalami kecederaan kerana pasukan perubatan saya berada di sana”, tambah beliau lagi.

“Mereka gunakan masa itu untuk lakukan rehab dan latihan. Saya kawal waktu permainan mereka supaya tiada apa-apa yang berlaku di sana kerana saya perlukan khidmat pemain-pemain ini di Oman nanti”.

Skuad hoki negara kini berada dalam misi merebut tiket automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan perlu mendapat tempat ketiga sekurang-kurangnya pada pusingan kelayakan ini.

Malaysia diundi di kumpulan A bersama Pakistan, China dan Great Britain pada aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung di Oman.