Pertahanan kental KL City, Giancarlo Gallifuoco menyifatkan kekalahan ke atas Johor Darul Ta’zim semalam oleh kerana kesilapan daripada individu sendiri.
Beliau akui selepas jaringan sendiri oleh penyerang KL City, Romel Morales antara punca utama moral pasukan mula jatuh dan tiada arah.
Semuanya nampak sempurna di awal permainan, KL City menunjukkan kualiti bertahan yang tinggi. Namun, selepas jaringan pertama sebelum tamat separuh masa pertama menyebabkan corak permainan berubah.
“Apabila bertemu sebuah pasukan yang sebegini ampuh, sedikit kesilapan akan mengundang padah.
“Jadi dalam perlawanan seperti ini, kami sedar kami perlu berada di tahap sempurna.
“Sebelum jaringan sendiri, perancangan kami tampak lancar. Mereka tidak mampu berbuat banyak dan gol sendiri itu menjejaskan moral kami.
“Ia tidak dijangka dan bersedia untuk kami tanggung. Saya harap kedudukan kekal 0-0 dalam separuh masa pertama,” katanya selepas perlawanan dipetik daripada Stadium Astro.
KL City kini berada di kedudukan ke-9 Liga Super dengan mengumpul 1 mata selepas tewas dan seri dalam dua perlawanan.
Perlawanan ketiga saingan Liga Super menyaksikan KL City akan bertemu Negeri Sembilan pada 11 Mac ini di Stadium Cheras Kuala Lumpur.