Jurulatih Kelantan FC, Angel Alfredo Vera mengakui masih sayangkan pasukan itu biarpun mendapat tawaran dari Liga 1 Indonesia.
Pengakuan ini dibuat dalam sidang media pasca-perlawanan PDRM-Kelantan yang berlangsung semalam.
Jurulatih Argentina itu mendedahkan beliau sudah mempunyai perancangan untuk membantu The Red Warriors bangkit pada musim hadapan.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan itu kepada pengurusan Kelantan sama ada mahu mengekakan beliau atau tidak.
“Ya, semoga (saya) boleh kembali nanti (ke Kelantan). Aku tidak bisa tahu apa yang akan terjadi nanti. (Ini) kerana saya belum tandatangani itu garisan (pada dokumen perjanjian).
“(Selagi) saya (belum) tandatangan, semua boleh terjadi,” katanya kepada MakanBola semalam.
Dengan aksi menentang Kelantan United FC berkemungkinan perlawanan terakhirnya bersama Kelantan, Vera berharap dapat mengakhiri kempen Liga Super dengan kemenangan.
“Kita mahu menang terus, kita mahu berusaha terus (tetapi) ada beberapa posisi kita kurang pemain. Pasukan pun sudah penat dengan detik yang berat dan seimbang dengan pasukan lain.
“Tapi kita akan kerja keras dari awal permainan, kita akan cuba,” tambahnya lagi. Skuad Kijang tewas lagi buat kali ke-12 dalam semua kejohanan apabila dibelasah PDRM 7-2 semalam.
Kelantan menutup musim 2023 dengan turun menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV pada 16 Disember ini.