Advertisements
“Saya Rasa Kami Bodoh” – Bojan Hodak
Liga Super
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Keputusan seri 2-2 KL City dan Kelantan nyata mengecewakan pengendali City Boys, Bojan Hodak. Bojan menyifatkan kenaifan anak-anak buahnya menggagalkan usaha meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini.

KL City terlebih dahulu mendahului menerusi bekas penyerang Terengganu, Tchetche Kipre pada minit ke-11. Declan Lambert menggandakan kelebihan City Boys pada minit ke-34.

Bagaimanapun, anak-anak buah Choi Moon-sik merapatkan kedudukan menerusi gol sendiri Kenny Pallraj pada minit ke-41. Sebelum rehat, Fazrul Amir menyamakan kedudukan untuk Kelantan bagi menjadikan kedudukan 2-2 – satu perkara yang menimbulkan kemarahan Bojan.

“Kami memang bodoh. Ini memang perasaan saya. Kami memang bodoh, kami tidak menunjukkan rasa hormat (kepada pihak lawan).

“Mereka (Kelantan) berjuang habis-habisan, mereka hanya ada satu percubaan ke arah gol, mereka menjaringkan dua gol daripada tiada apa. Daripada mempertahankan keputusan 2-0 dan menamatkan permainan, kita jaringkan dua gol untuk mereka. Tiada apa yang perlu diperkatakan,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan dengan Astro Arena.

Dengan perlawanan setempat Lembah Klang membabitkan KL City dan Selangor pada 31 Mac ini, Bojan sudah pasti tidak mahu perkara sama berulang. Selangor yang baru saja dibelasah 4-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pasti mahu bangkit dan menebus kehampaan buat para penyokong mereka.

“Ia satu perkara yang amat besar bagi kami, satu perlawanan penting dan kami hanya perlu fokus kepadanya sekarang. Harapnya, dua atau tiga pemain yang cedera hari ini dapat kembali dan kami hanya perlu untuk fokus dan bekerja keras semasa tempoh rehat ini,” tambahnya.