Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memzahirkan rasa sedih untuk menjulang Piala Sumbangsih 2024 dengan cara sebegini.
Skuad kendalian Hector Bidoglio meraih trofi pertama pada musim 2024/25 selepas lawan di Piala Sumbangsih, Selangor FC memilih tidak hadir ke perlawanan tersebut.
Hal ini susulan isu keselamatan yang menjadi kebimbangan The Red Giants selepas pemain sayap pasukan, Faisal Halim menjadi mangsa serangan simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali.
Keputusan sebulat suara oleh Selangor FC ini telah menyebabkan pasukan selatan tanah air itu memperoleh kemenangan percuma 3-0 dan meraih tiga mata pertama Liga Super.
Tunku Ismail yang turut bersimpati dengan keadaan semasa tampil bersuara mengenai kejuaraan ke-27 JDT secara keseluruhannya.
“Sedih untuk menjulang piala dengan cara ini, tetapi rezeki tetap rezeki.
“Allah sebaik-baik perancang,” jelas Tunku Ismail dalam ruangan komen Johor Southern Tigers di Instagram.
Tunku Ismail sebelum ini juga telah terima mengadap YDH DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap YDH DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara pada hari ini, 5 Mei 2024.
Perjumpaan ini difahamkan bertujuan untuk membincangkan beberapa agenda termasuklah aspek keselamatan dan juga isu-isu terkini yang melibatkan PDRM.
“Perbincangan sesi pertemuan tersebut tertumpu kepada aspek-aspek keselamatan dan isu-isu terkini berkaitan Polis DiRaja Malaysia. Allah Peliharakan Sultan,” ujar The Royal Johor.