Sejarah berkenaan pemain sayap Malaysia, Arif Aiman Hanapi dan juga bintang England tidak diketahui ramai pihak.
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia buat kali ke-3 berturut-turut.
Beliau bagaimanapun hadir dengan latar belakang luar biasa tatkala pernah bertemu dengan beberapa bintang dunia ketika usia muda.
Menerusi satu perkongsian oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Instagram Story berkenaan perjalanan awal yang menjadi titik pertemuan antara Arif dan juga tonggak Chelsea, Cole Palmer.
Hantaran tersebut merujuk kepada gambar kesebelasan utama Malaysia Tigers iaitu pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dan Manchester City bagi pertemuan aksi suku akhir SuperMokh Cup 2015.
“Kesebelasan utama NFDP vs Manchester City SuperMokh Cup 2015. Cole Palmer untuk City. Arif Aiman untuk NFDP,” katanya.
Selain Palmer, kesebelasan utama The Citizens dalam aksi berkenaan turut dibintangi oleh nama-nama besar seperti penjaga gol Burnley, James Trafford, CJ Egan-Riley (Burnley), James McAtee (Manchester City) dan Taylor Harwood-Bellis (Southampton).
Skuad NFDP pula dibarisi oleh pemain seperti Harith Haiqal Adam Afkar, Zikri Khalili dan Harith Naim Jaineh yang turut menonjol selain nama Arif.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-0 Man City ke atas skuad negara dengan skuad muda City kemudiannya muncul juara kejohanan untuk kategori Bawah 13 Tahun (B-13).
Kedua-dua pemain ini terus mencipta nama di negara masing-masing dengan Arif merupakan watak penting JDT sementara Palmer menjadi bintang Chelsea dan pasukan kebangsaan England.