Musim 2023 bukanlah musim yang terbaik buat Perak FC selepas onak dan duri dilalui pada awal musim, kini di bawah kendalian Yusri Che Lah, keadaan Perak semakin bertambah baik dari hari ke hari.
Perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Negeri Perak semalam menyaksikan Perak terpaksa menelan kepahitan apabila tewas tipis 0-1 kepada pasukan di tangga keempat liga, Sabah FC.
Bagi Yusri, biarpun tewas, namun beliau berbangga dengan disiplin para pemainnya yang berjuang sehingga ke minit akhir permainan.
“Walaupun kekalahan yang kami terima, sedikit membanggakan adalah apabila para pemain cukup berdisiplin dalam perlawanan malam ini.
“Cuma mungkin di akhir permainan, hilang fokus sedikit yang menghukum kita dengan jaringan yang membezakan pemenang pada perlawanan malam ini.
“Dari sudut positifnya, kita cuba bersaing. Kalau kita lihat, banyak juga peluang pada separuh masa pertama dan hampir untuk kita menjaringkan gol tetapi kita berhadapan dengan sebuah pasukan yang kuat (Sabah FC),” jelas Yusri Che Lah dalam sidang media selepas perlawanan yang dikongsikan oleh TBG TV.
Mengulas mengenai perancangan musim hadapan, Yusri mendedahkan bahawa beliau dan pihak pengurusan sedang bekerja keras untuk menambah baik skuad dengan membawa masuk muka baru bagi bersaing dengan lebih sengit dalam aksi Liga Super musim hadapan.
Masih merahsiakan pemain manakah yang bakal menyertai Perak musim hadapan namun Yusri merasakan sekiranya perpindahan itu berlaku, ianya sesuatu yang agak mengejutkan.
“Perak ni besar namanya dan gah. Kita perlu bersaing lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini. Saya boleh katakan di sini, kita akan membawa masuk pemain-pemain yang saya boleh katakan seandainya berlaku (perpindahan), ianya sesuatu yang mengejutkan,” tegas Yusri lagi.
Perak kini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 22 mata selepas 25 perlawanan. Perlawanan selepas ini juga mencabar buat Perak apabila berdepan Terengganu FC untuk aksi terakhir liga pada 17 Disember.