Advertisements
Selamat Datang Alvin Fortes
Transfer
MakanBola
Selangor FC

Selangor Fc secara rasminya telah mengumumkan ketibaan pemain sayap sensasi baharu, Alvin Fortes nagi saingan musim 2024/25.

Perkara ini diumumkan oleh The Red Giants dalam satu kenyataan di laman sosial sekaligus menyaksikan bintang kedua dibawa masuk musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu diumumkan secara rasmi sebagai pemain import ketiga terbaru Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Beliau dinilai pada tanda harga 400 ribu Euro (RM2.09 Juta) oleh laman Transfermarkt bakal membantu jentera serangan pasukan bagi musim baharu.

Beliau telah melebarkan sayap ke beberapa buah negara seperti Finland, Turki, Greece dan Republik Czech untuk mengembangkan karier bola sepaknya.

Ketika usianya 20 tahun, Fortes berjaya membuat debut profesionalnya bersama kelab di negara kelahirannya, Belanda, RKC Waalwijk menentang FC Den Bosch dalam kejohanan Eerste Divisie. 

Beliau pernah bersama FC Dila Gori yang bersaing di Liga Georgia selama dua musim pada 2018 dan 2019.

Rekod jaringannya juga amat memberangsangkan apabila pemain sayap ini telah menggunakan peluang yang diberikan untuk membantu pasukan tersebut dengan menjaringkan 16 jaringan gol serta mencetak 11 bantuan dalam 51 penampilan.

Pada tahun 2021, Fortes telah berkelana di Uzbekistan beraksi dalam saingan O’zbekiston Superligasi, Uzbekistan Cup termasuklah AFC Champions League (ACL) bersama FC AGMK.

Pemain sayap ini berjaya menambah rekod peribadinya dengan bermain untuk 25 perlawanan dan menjaringkan 4 gol bagi musim tersebut.

Dalam satu kenyataan, pemain kelahiran Cape Verde ini yakin bahawa Selangor FC merupakan kelab yang terbaik untuk beliau teruskan karier profesionalnya.

“Saya tahu akan kewujudan kelab Selangor FC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu.”

“Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak,” ujar Fortes kepada Selangor FC.

Fortes menjadi pemain import ketiga yang dibawa masuk selepas mendapatkan kapten Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov dan juga Ronnie Fernandez.