Penyerang Terengganu FC dari Croatia, Ivan Mamut kembali menyertai pasukan itu.
Kepulangan penyerang berusia 27 tahun itu dikongsikan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi pasukan itu.
Sebelum ini, Mamut berehat panjang selama hampir setahun selepas mengalami kecederaan tendon Achilles.
“Ivan Mamut selamat tiba ke Terengganu pada tengah hari tadi. Ivan yang sebelum ini menjalani pembedahan dan rawatan di luar negara telah diberikan tempoh menjalani pemulihan di sana sehingga awal Januari 2025,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Beliau akan menjalani pemeriksaan kondisi terkini serta rawatan lanjut bersama staf perubatan Terengganu FC serta mula menjalani rawatan pemulihan di sini.”
Ramai penyokong Terengganu berharap bekas penyerang Inter Zapresic itu benar-benar pulih daripada kecederaan yang dialaminya.
Ini kerana ramai penyokong yang merindui sentuhan berbisanya di depan gol seperti yang dibuktikan pada musim 2023.
Musim tersebut menyaksikan Mamut meledakkan 23 gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC.
Seandainya beliau kembali cergas, penyerang Croatia itu bakal menambah pilihan di bahagian serangan.
Selain Mamut, jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali turut mempunyai Ismaheel Akinade, Nelson Bonilla dan Syahmi Zamri sebagai pilihan di bahagian serangan.